Perkara ini dapat dilihat terutama yang melibatkan tempat letak kenderaan bagi golongan OKU.
Baru-baru ini saya menghantar anak membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Di klinik kesihatan itu, ada dua tempat letak kenderaan disediakan khas untuk golongan OKU.
Papan tanda tertera OKU juga jelas menunjukkan petak tempat letak kenderaan itu adalah untuk golongan OKU.
Bagaimanapun, apa yang dikesali orang ramai yang berurusan di klinik kesihatan itu tanpa rasa bersalah meletakkan kenderaan mereka di petak OKU.
Cuba bayangkan sekiranya ada OKU yang datang ke klinik kesihatan itu dan mendapati tempat letak kenderaan untuk mereka telah dipenuhi dengan kereta orang awam yang normal.
Tidak dinafikan kekurangan tempat letak kenderaan di klinik kesihatan itu berbanding jumlah pesakit yang ramai menyebabkan berlakunya kesesakan.
Namun itu tidak bermakna orang awam yang sihat tubuh badan boleh menggunakan kemudahan OKU itu sewenang-wenangnya.
Ini cuma salah satu contoh yang saya lihat sendiri dan tidak dinafikan perkara sama turut berlaku di tempat lain termasuk kemudahan lain untuk golongan OKU seperti tandas.
Justeru, saya berharap agar masyarakat akan menjadi lebih prihatin kepada golongan OKU ini kerana pergerakan mereka agak terbatas berbanding insan normal yang lain.
ADIK MANJA
Johor Bahru